Search This Blog

Tuesday 21 June 2011

Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) Keliru

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) berharap Kementerian Sumber Manusia memberi penjelasan lanjut mengenai ketetapan yang dibuat dalam Memorandum Persefahaman (MoU) pengambilan pembantu rumah Indonesia yang ditandatangani kelmarin kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan.
Ini kerana, kos sebenar yang ditanggung agensi pekerja asing di negara ini untuk mengambil pembantu rumah di Indonesia ialah sebanyak RM6,000 sedangkan MoU yang ditandatangani itu menetapkan harga sebanyak RM4,511.
Presiden Papa, Alwi Bavutty berkata, pihaknya keliru siapa yang akan menanggung baki kos sebanyak RM1,489.
Agensi pekerja asing di negara ini akan menanggung kos sebanyak RM6,000 untuk mengambil pembantu rumah dan apabila majikan datang kepada kami, ia meningkat kepada RM8,000 kerana tambahan RM2,000 itu merangkumi kos lain seperti levi serta perubatan.
Jika MoU itu menetapkan semua sekali sebanyak RM4,511, siapa yang akan menanggung baki kos itu, adakah kementerian akan membayarnya atau terdapat kos tersembunyi lain yang perlu dibayar majikan? katanya.
Beliau berkata, bagi mengelakkan kekeliruan, Kementerian Sumber Manusia perlu memberi penjelasan lanjut mengenai perkara itu.
Kita tidak mahu ada majikan datang dengan wang sebanyak RM4,511 untuk mengambil pembantu rumah, tetapi agensi tidak dapat menyediakannya kerana kos sebenar lebih tinggi, katanya. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam semalam dilaporkan berkata, semua agensi pekerja asing di negara ini perlu mematuhi syarat dan kadar bayaran ditetapkan bagi pengambilan pembantu rumah dari Indonesia yang dimuktamadkan dalam MoU antara Malaysia dan Indonesia yang dimeterai di Bandung, Indonesia Isnin lalu. Mengikut MoU itu, kos pembayaran kepada ejen yang membekalkan pembantu rumah ditetapkan kepada RM4,511.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment